Hari ini dalam sejarah PAS Johor Bahru

Tidak disangka hari ini adalah hari bersejarah kita, menyambung perjuangan dari orang-orang yg lebih dahulu mendahului kita, siapa sangka lahir dari PAS Johor Bahru Yang Dipertua Agung PAS (Presiden).

Semoga Allah cucuri rahmat atas roh beliau dan kita semua dapat mengambil semangat perjuangan beliau untuk terus istiqamah dilandasan Islam hingga akhir hayat...

HARI INI DALAM SEJARAH PAS

DR BURHANUDDIN AL-HELMY DILANTIK AHLI KEHORMAT PAS JOHOR BAHRU (23 APRIL 1954)

PADA hari ini dalam tahun 1954, Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan Johor Bahru telah bersetuju melantik tokoh nasionalis Islam yang terkenal, Dr Burhanuddin al -Helmy Mohd Noor sebagai ahli kehormat cawangan tersebut. Perlantikan Dr Burhanuddin Al -Helmy ini dibuat bagi menghargai khidmat beliau kepada perjuangan Islam semenjak zaman Jepun sehingga penubuhan Hizbul Muslimin, kemudian perjuangan beliau dalam isu Natrah sehinggalah menyampaikan Islam melalui syarahan dan tulisan-tulisan selepas keluar penjara pada 1952. Antara buku terpenting beliau ialah 'Islam dan Politik' yang dijadikan pada 1954.

Dr Burhanuddin Al-Helmy yang dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak adalah lulusan Aligarh Muslim University (AMU), India sebelum mendalami ilmu perubatan homeopathy di Singapura dan mendapat ijazah master dalam bidang homeopathy di Chistiya Medical College, India dan mengikuti pengajian kedoktoran falsafah dalam bidang falsafah Islam di Fakulti Psikologi AMU.

Setelah menamatkan pengajian, beliau berkhidmat sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Pentadbiran Tentera Jepun, Taiping. Beliau mula terlibat dengan politik melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM), kemudian memimpin Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) pada akhir zaman Jepun. Pada 1945, beliau dilantik memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), selain menjadi Pengerusi PUTERA-AMCJA, sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang memperjuangkan Perlembagaan Rakyat pada 1948. Dr Burhanuddin al-Helmy juga terlibat secara langsung dalam penubuhan dan pergerakan Hizbul Muslimin. Selepas PKMM diharamkan pada akhir 1948, Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengetuai Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah pada Disember 1950 yang menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan sehingga pertengahan 1952.

Sejak keluar dari tahanan di Singapura, beliau tidak menyertai mana-mana politik walaupun ditawarkan memimpin Partai Melayu Semenanjung (PMS) dan terlibat mengasaskan Partai Rakyat Malaya (PRM) pada 1955. Beliau hanya bergiat melalui kursus-kursus politik Islam anjuran Umno, selain menyebarkan fahaman politik Islam melalui tulisan. Atas sumbangan beliau terhadap pergerakan politik Islam ini, pada 23 April 1954 beliau dilantik sebagai ahli kehormat PAS, dan dimaklumkan perlantikan ini pada 30 April 1954. Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya menyertai PAS secara rasmi pada 14 Disember 1956 dan akhirnya dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS Ketiga pada 25 Disember 1956. Jawatan ini dipegang oleh beliau sehingga akhir hayatnya pada 25 Oktober 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Rejab 1437 / 23 April 2016


Sumber : Jabatan Arkib PAS Kawasan Johor Bahru



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.