
Alhamdulillah bertempat di No 9 Jalan Dewata, Larkin Jaya Dato Mahfuz Omar selaku Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kira-kira jam 11.00 malam dengan lafaz bismillah telahpun selamat merasmikan Pusat Aduan Rakyat Zon Tanjung Puteri di bawah Parlimen Johor Bahru.
Majlis gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Pengerusi PKR Johor Dato Chua Jui Meng dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Hj Dzulkefly Ahmad. Tarikh 27 Syaaban 1431H bersamaan 08 Ogos 2010 dipilih sebagai tarikh yang penuh bersejarah menandakan PAS dan Pakatan Rakyat serius dalam membela rakyat biarpun diperingkat negeri Johor kerajaan UmnoBN masih berkuasa.
Semangat ini ditunjukkan sebagai isyarat PAS komited dan istiqomah dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat terbanyak dengan membawa mesej Islam Memimpin Perubahan. Pusat Aduan Rakyat Zon Tanjung Puteri ini akan diseliakan sendiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru Saudara Rosli Bin Kemin yang berpengalaman luas dalam kepimpinan PAS Johor Bahru lebih 20 tahun bersama beberapa orang ahli jawatankuasa dan bolehlah dipanggil sebagai pembantu penyelia atau pegawai Pusat Aduan Rakyat.
Kami juga mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak dalam melihat aspek yang positif dengan tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat ini sebagai agenda bersama tanpa mengira batas agama, politik dan kaum.
Isu rakyat ini bukanlah baru bermula di Johor Bahru ini malah ianya sudah lama dan tiada lain kewujudan Pusat Aduan Rakyat Zon Tanjung Puteri ini bertujuan menjadi hab dan hentian masyarakat Johor Bahru yang dahagakan bantuan dan khidmat nasihat bukan sahaja hal yang berkaitan dengan hal bermasyarakat dan bernegara malah yang lebih besar dari itu ialah Islam Untuk Semua. Semoga Allah memberkati niat dan tujuan kami. Allahuakbar...







Moderator :- Tuan Hj Dzulkely Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor)